Tuesday, October 18, 2011

Dakwah Cara Ustaz Don Daniyal




   MENCARI ikon sesuai bagi diketengahkan sebagai penyampai adalah tugas stesen TV. Perkara ini menarik perhatian apabila ada stesen TV mengambil artis popular seperti pelakon atau penyanyi mengacara program tertentu dengan harapan ia dapat mencatat ‘rating’ tinggi.


   Namun usaha stesen TV AlHijrah sesuatu yang berbeza dengan mencari individu yang tidak ada pengalaman dalam bidang pengacaraan khususnya berbentuk dakwah. 
Bagi penonton stesen ini, pasti ada menyedari kehadiran penyampai baru, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid yang muncul menerusi program 30 Minit Ustaz Don disiarkan setiap Isnin hingga Rabu, jam 10.30 malam.

   Pengurus Besar Majalah & Dokumentari TV Alhijrah, Zainal Rashid Ahmad berkata, pencarian muka baru bermula sejak Disember tahun lalu menyaksikan lebih 30 peserta mencuba nasib.Mengikut konsep program ini, karakter dicari mestilah seorang ustaz yang petah berhujah.



“Kami menerima banyak maklum balas penonton yang sukakan cara penyampaian Ustaz Don ketika mengendalikan program Ihya Ramadan sebanyak 26 episod. Atas sambutan positif itu, ia membuktikan Ustaz Don sudah ada peminat.

“Menerusi episod pertama 30 Minit Ustaz Don, dia juga meraih sambutan ramai penonton. Saya berharap Ustaz Don menjadi fenomena baru pada penonton khususnya dalam menarik perhatian golongan muda mendekati program ini menerusi budaya baru dan mendapat khidmat nasihat,” katanya pada satu sesi ramah mesra bersama media di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Dia boleh berjenaka seketika tetapi tidak keluar daripada topik itu sendiri. Saya sendiri tidak menjangka ramai penonton di kalangan wanita berkerjaya meminati program 30 Minit Ustaz Don.

“Penonton sebegini tahu aspek agama tetapi mereka mahu tambah ilmu apabila menonton program ini,” katanya.

Bagi Ustaz Don yang juga graduan Universiti Al-Azhar, dia masih berpegang kepada matlamat menegakkan kalimah Allah S.W.T.

“Dalam bercakap kepada penonton, saya tidak mahu bercakap kosong tetapi perlu merujuk pada al-Quran dan hadis,” kata pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor ini.

Menjadi selebriti yang turut dihimpit populariti bukan juga matlamat yang dicarinya. Menganggap setiap petugas produksi sebagai satu keluarga, Ustaz Don berusaha memfokuskan dua perkara ketika ke udara iaitu Fardu Ain dan al-Quran.

“Pengajaran Fardu Ain berasaskan kepada pegangan Imam Shafie dan kita menolak fahaman lain seperti Syiah. Sebolehnya, saya mahu membantu penonton dalam menyelesaikan masalah membabitkan remaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment