Monday, October 17, 2011

Vokal Bukan Sekadar Rupa ( Realiti Program Terbaru Tv3)


Vokal Bukan Sekadar Rupa ( Realiti Program Terbaru Tv3)


PERMULAAN yang meyakinkan. Begitulah dapat disaksikan pada konsert minggu pertama program realiti terbaru VOKAL - Bukan Sekadar Rupa (VBSR) yang membuka tirai dari Sri Pentas 2, Shah Alam, semalam. Sudah ada kejutan yang bakal menjadikan program ini popular seperti Mentor.
Menampilkan lima peserta, program malam kelmarin diadili juri tetap, komposer Azmeer dan Erra Fazira manakala Datuk Siti Nurhaliza diundang sebagai juri jemputan.
Antara matlamat utama program ini cuba mengubah perspektif masyarakat agar melihat suara dulu selepas rupa.


Kejutan bermula sejak awal apabila peserta pertama, Mafarikha Md Akhir atau Mafa, 19, muncul mendendangkan lagu Rolling in the Deep nyanyian Adele yang berjaya memukau penonton dan juri.


Namun peserta kedua, Muhd Fakhrullah Mohd Yusoff atau Epiit, 21, gagal memikat juri. Dia kedengaran meyakinkan ketika intro lagu Bila Cinta nyanyian Filianti Vlee. Bagaimanapun, suaranya tidak konsisten ketika bahagian korus menjadi punca utama kegagalannya pada malam itu.


Tiga lagi peserta iaitu Norhasmidar Ahmad atau Asmidar 22, mendendangkan lagu Terlalu Istimewa nyanyian Adibah Noor, Azmarul Azuan Harun atau Azmarul, 27, (Sedetik Lebih) dan Mohd Janizam Jamaluddin atau Boby, 26, (Selalu Mengalah, turut berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya.


Menariknya ketika setiap peserta menyanyi pada awal kemunculan, juri dan penonton hanya mendengar vokal. Kemudian selepas pemilihan atau penolakan dibuat, barulah mereka muncul di depan pentas.


Boby boleh dianggap sangat bertuah kerana pada saat dia ditolak Erra Fazira, Azmeer dan Siti tampil menyelamatkannya atas alasan mahu memberikan dia peluang.


Ditemui pada sidang media selepas itu, Azmeer menjelaskan berpuas hati dengan kemampuan mereka kecuali Epiit yang disifatkan tidak menyanyi dalam satu pakej serta hilang ‘mood’ pada bahagian korus.


“Keputusan terpaksa dibuat kerana ia pertandingan dan bukan lagi uji bakat.
Kami kena tegas dalam perkara ini. Azmarul ada suara yang bagus. Walaupun nyanyiannya masih mirip Anuar Zain, dia tidak buat kesilapan. Dia boleh belajar untuk membentuk nyanyian dengan gaya sendiri selepas ini.


“Segala komen yang dilontarkan saya adalah ikhlas. Kalau saya tak tegur, siapa lagi nak tegur mereka? Kalau tanya ibu bapa mereka, semua akan cakap nyanyian anak mereka bagus,” katanya.


Mengulas isu dia lebih senang membahasakan dirinya sebagai ‘aku’ kepada peserta, Azmeer anggap ia tidak kasar.


“Aku dan kau tak ada masalah kalau nak digunakan. Malah ia juga ganti nama yang kita pakai apabila kita bersolat. Bagi saya bukan sebab hendak pandang rendah tapi cara saya mendekatkan diri dengan mereka dan membentuk kasih sayang sesama manusia,” katanya.


Menjelaskan sikap serius yang boleh membuatkan peserta jadi gerun sehingga hilang fokus, Azmeer berkata, sekiranya mereka penyanyi yang baik, mereka perlu belajar menangani segala tekanan.


“Kalau mereka penyanyi yang baik, mereka tak akan gerun dengan saya. Bagaimana kalau mereka hendak menyanyi di depan Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri kalau ada rasa gerun yang sukar dikawal?” katanya.


Erra pula menyambut peluang daripada TV3 yang mahukan dia menjadi juri dengan hati yang terbuka selepas dia berjaya memenangi Mentor.


“Saya tahu ramai lagi artis lain yang lebih berpengalaman berbanding saya tapi saya yakin TV3 ada sebab tersendiri memilih saya. Ini satu tanggungjawab besar. Saya ingin mencurahkan segala pengalaman yang ada untuk menilai bakat baru yang boleh digilap menjadi penghibur,” katanya.


Menjelaskan mengenai pemilihan Azmeer sebagai juri dalam kebanyakan program realiti TV di TV3, penerbit VBSR, Suffian Isa berkata, mereka tahu keupayaan komposer itu dalam menilai bakat baru.


“Kami sudah banyak kali bekerjasama dan yakin dengan kredibiliti Azmeer.
Minggu depan, lagi lima peserta akan bertanding. Mereka yang berjaya akan dibimbing penasihat yang sudah disediakan pihak kami. Pada minggu ketiga barulah ada undian SMS iaitu 50 peratus juri dan 50 peratus penonton.


“Mengenai lagu yang dinyanyikan, ia adalah pilihan peserta sendiri tapi kami akan menapis terlebih dulu. Penasihat akan tengok kesesuaian lagu itu dengan mereka,” ujarnya.


Sementara itu, Epiit menganggap dia tiada rezeki untuk melangkah ke pusingan seterusnya. Dia sudah mencuba yang terbaik namun terpaksa akur dengan keputusan juri pada malam itu.


“Saya tak pasti sebab kenapa saya tak terpilih. Apapun saya pasrah kerana ini antara pencapaian paling jauh pernah saya lalui. Saya bangga kerana terpilih antara 10 terbaik daripada 2,000 yang mencuba nasib,” katanya yang tidak akan serik mencuba lagi dalam pertandingan lain.


note : adanya rancangan macam ni , baru lah kita boleh menilai , apa itu Vokal .. kan3 ??hehe

No comments:

Post a Comment